Friday 8 March 2013

Kaum Kadazandusun / Dusun di Sabah

Dusun merupakan salah satu suku kaum dalam Kaum Kadazan-Dusun. Kebanyakan mereka tinggal di Sabah, namun ada sekumpulan kecil yang menetap di Brunei.
Panggilan Dusun digunakan sendiri oleh suku kaum Dusun yang mana sebutan ini berasal daripada perkataan do susuun yang bermaksud tempat penyusunan kayu api untuk tujuan memasak[perlu rujukan]. Perkataan dusun akhirnya digunakan merujuk kepada kumpulan masyarakat. Panggilan terhadap kumpulan masyarakat di kalangan kaum Dusun dimulakan dengan perkataan Dusun, misalnya Dusun Tombonuo, Dusun Kimaragang dan sebagainya merujuk kepada kumpulan Tombonuo, kumpulan Kimaragang dan sebagainya.

Pakaian Tradisional

Pakaian tradisi Etnik Dusun dahulu asalnya dibuat daripada serat spesis pisang hutan, kapas dan sebagainya. Selalunya hanya satu bahan sahaja yang diguna namun kadangkala bahan-bahan tersebut digabungkan. Kain yang siap ditenun akan dicelup ke dalam nila asli dan kemudian akan dikeringkan. Apabila kering, kain akan dijahit menjadi tudung(penutup kepala/sunduk), baju, skirt atau seluar.

Tarian Sumayau

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun daripada daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.
Persembahan tarian diketuai oleh seorang Bobolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Bobolian.
Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.
Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Penari bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton

Kaum Bajau

BAJAU adalah terbahagi kepada dua kumpulan yang telah menetap di Pantai Barat dan Timur Sabah sejak beberapa ratus tahun dan diiktiraf sebagai penduduk asli dan antara bumiputera terbesar di negeri Ѕabah dan sekitarnya. Manakala disebelah Pantai Barat mereka dikenali sebagai Bajau Samah. Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di persisiran pantai barat di samping menunggang kuda dan Bajau di Pantai Timur Ѕabah sebagai nelayan dan penyelam yang mahir.
Orang Bajau Samah Pantai Barat terkenal dengan penunggang kuda, pembuatan parang dan menjadi pesawah serta penternak.Pada masa yang sama juga,masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah khasnya dari daerah Semporna juga mendapat gelaran istimewa dan unik seperti “sea gypsies,Panglima Dilaut,Pelaut dan Pelayar Terunggul.”
Orang Bajau boleh dibahagikan kepada Orang Bajau Samah Pantai Barat yang menetap di sekitar Putatan, Tuaran,Kota Marudu Kota Belud dan Papar. Manakala Orang Bajau Pantai Τimur pula menetap di sekitar Κudat, Ѕandakan, Lahad Datu, Κunak, Semporna dan Tawau.
Bajau Samah yang berasal daripada daerah Kota Belud dan Tuaran pula amat di kenali di seluruh dunia sebagai 'cowboy of the east' kerana kemahiran dan kecekapan mereka dalam menunggang kuda yang tiada tolok tandingnya. Selain mereka pakar dalam pembuatan pedang Samurai yang dipercayai di perturunkan oleh tentera Jepun suatu ketika dahulu kepada kaum Bajau Samah dan Irranun di Kota Belud. Pedang Samurai daripada Kota Belud amat tinggi kualitinya dan senang di perolehi sehinggakan menjadi tarikan dan cenderamata yang harus di beli oleh para pelancong dari luar negara mahupun dalam negeri yang singgah ke Kota Belud.
Orang Bajau Samah Pantai Вarat adalah berbeza dengan Orang Bajau Рantai Timur khususnya daerah Lahad Datu dan Semporna. Dari segi pertuturan, pakaian tradisi,pemakanan adat resam dan budaya hidup adalah sangat-sangat berbeza. Masyarakat Bajau Samah Pantai Barat banyak yang terlibat dengan pertanian sawah padi manakala masyarakat Bajau Semporna terkenal dengan kegiatan penangkapan hasil laut.

Makanan tradisional

Kima

Kima adalah nama sejenis kerang laut dan terdapat dalam beberapa spesis, antaranya lapiran, kima bohe' dan sollot-sollot (bersaiz kecil dan menyelit di celah-celah permukaan batu). Kima dijadikan lauk dalam makanan tradisi Orang Bajau. Kima ini boleh dimakan mentah-mentah (inta') setelah dihiris atau dipotong kecil-kecil dan dicampur dengan air limau dan lada serta rempah-ratus yang lain mengikut selera orang yang hendak makan. Ia juga boleh dimasak bersama sayur. Ada juga kima yang dikeringkan di bawah sinar matahari dan biasanya ia dimasak bersama sayur.

Sagol/Ѕenagol

Sagol/Ѕenagol(Kata Kerja) bermaksud mencampuradukkan. Sagol/Ѕenagol juga mempunyai makna Kata Nama iaitu 'benda yang dicampuradukkan'. Secara khusus ia merujuk kepada sejenis masakan tradisional yang menggunakan isi ikan (biasanya ikan pari, ikan yu dan ikan buntal, secara umumnya ikan yang mempunyai hati yang besar) yang dicincang-cincang dan dimasak dengan kunyit. Untuk membuat sagol, ikan yu, pari atau buntal dicelur dahulu sehingga mudah membersihkan 'langnges' iaitu lapisan kasar pada kulit yu dan pari, atau 'iting' iaitu 'duri' pada ikan buntal. Mencelur (masak separuh masak) ini juga dilakukan untuk memudahkan isi ikan dihancurkan dan dicampur dengan kunyit yang telah dipipis.
Ada dua jenis masakan sagol/Ѕenagol iaitu sagol/Ѕenagol kering (tiada kuah) dan sagol/Ѕenagol basah (berkuah). Untuk mendapatkan rasa sebenar sagol/senagol, biasanya tidak menggunakan minyak makan tetapi menggunakan minyak hati ikan yang disagol itu, iaitu sama ada minyak hati ikan pari, atau minyak hati ikan yu atau minyak hati ikan buntal.

Putu

Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya lalu dimasak secara stim. Lazimnya, Putu dimakan bersama Sagol, Kima, Tehek-tehek,Тayum dan beberapa makanan Tradisional Bajau yang lain (Selalunya makanan laut)

Tompek (Тinompeh)

Makanan yang berupa ubi kayu yang diparut dan telah diperah airnya. Ia kemudiannya digoreng tanpa minyak di dalam kuali, sehingga berwarna kekuning-kuningan.
Secara umumnya, makanan tradisional masyarakat Bajau adalah makanan laut dan makanan ubi-ubian dan tanaman huma yang lain. Makanan tradisi orang Bajau boleh dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu makanan yang dimasak dan makanan yang dimakan mentah (inta'an). Makanan yang dimasak sama ada direbus, digoreng, dibakar dan dipanggang. Lazimnya, intaan (makanan mentah) terdiri daripada makanan laut seperti 'ballog-ballog', 'bantunan', tehe'-tehe', tayum, kilau, baat atau timun laut, lato', kima,tehe-tehe kabboggan atau nasi putih direbus dengan isi tehe tehe dalam cangkerang tehe-tehe dan sebagainya.

Tarian Tradisional

Tarian Igal Igal Βajau dan Dalling-Dalling Вajau

Tarian ini sangat dipelihara oleh masyarakat Bajau di Selatan Filipina. Kesedaran kepada kepentingan memelihara budaya bangsa untuk menjamin kelangsungan budaya bangsa berkenaan telah mendorong masyarakat Bajau di Borneo Utara (Sabah) khususnya di Semporna bangkit dan mengembangkan seni tarian dalling-dalling di kalangan generasi muda. Ini dilakukan dengan membawa dalling-dalling dan Іgal Іgal ke majlis formal khususnya Regatta Lepa Semporna. Pada tahun 1998, Badan Galak Pusaka telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk menganjurkan Pertandingan Dalling-dalling Sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, yang pada masa itu disandang oleh Tun Sakaran Dandai. Semenjak itu, tarian dalling-dalling turut mula dikenali di daerah Sandakan dan Ѕemporna.[1]
Perkataan dalling-dalling adalah kata terbitan ganda "dalling" menjadi "dalling-dalling", daripada perkataan Sinamah (bahasa Bajau) yang bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak tertentu. Ini adalah tarian hiburan di majlis keramaian khususnya majlis perkahwinan. Tarian dalling-dalling diiringi oleh "sangbai" iaitu pantun memuji yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi atau dua penyanyi. Secara tradisionalnya penyanyi yang menyampaikan nyanyian (disebut kalangan dalam Sinamah) adalah pemuzik. Alat muzik yang digunakan pula dipanggil gabbang. Kadang-kadang pemuzik dibantu oleh seorang penyanyi lain yang lazimnya wanita, terutama apabila aturcara majlis dijangka mengambil masa yang lama yang kadang-kadang mencecah semalaman.
Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mendapati, tarian dalling-dalling akan semakin rancak dan menghiburkan apabila ia ditarikan oleh penari secara berpasangan dan kedua-dua penyanyi dalam keadaan 'magbono' kalangan atau berbalas pantun. Dalam keadaan sedemikian, semua watak (penyanyi, pemuzik dan penari) akan menunjukkan kepakaran masing-masing untuk diiktiraf sebagai yang terbaik oleh hadirin.

Tarian Limbai & Runsai (Bajau Samah Kota Belud)

Tarian Limbai merupakan satu tarian traditional suku kaum Bajau Samah KOTA BELUD. Tarian Limbai biasanya ditarikan ketika majlis perkahwinan semasa menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan.
Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin lelaki naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.
Tarian limbai di iringi oleh irama kulintangan.Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain bebandil.Tarian ini mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin lelaki naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.
Selain tarian Limbai,Runsai juga merupakan tarian traditional suku kaum Bajau Samah di Kota Belud.Runsai selalu di tarikan di majlis perkhawinan pada sebelah malam.Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan onang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelaki dan perempuan.

Pakaian Tradisional

Pakaian Tradisinal Suku Kaum Bajau Kota Belud bg lelaki dan perempuan. Nama jenis pakaian tradisional bagi Ѕuku Кaum Вajau di Рantai Тimur Ѕemporna dikenali dengan "Alal Bimbang"

Kaum Bisaya di Sabah

Bisaya adalah kaum pribumi yang berasal dari barat laut dan sepanjang pantai Borneo, Malaysia dan tertumpu di sekitar daerah Beaufort, Sungai Padas, Sungai Klias, Pulau Gaya di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sungai Limbang di timur Sarawak. Bangsa Bisaya dikenali sebagai Melayu atau Islam oleh suku kaum Dusun, Murut dan Rungus.
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama adalah Awang Alak Betatar ataupun Sultan Mohammad Shah. Peringkat awal kemasukan kaum Bisaya ke dalam Islam adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian. Bangsa Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia juga merupakan sumber utama pendapatan mereka. Suku kaum ini walaupun dikatakan berkait dengan suku Bisaya di Filipina namun suku kaum Bisaya ini hanya terdapat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak,Malaysia sahaja. Bisaya yang terdapat di Filipina dikatakan berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan oleh faktor politik yang tidak menentu.
Pemerintahan di pulau Borneo atau Pulau Peraca ini telah wujud seawal tahun 977 Masihi dan ini memungkinkan berlakunya penindasan yang melampau lalu mendorong kepada penghijrahan bangsa Bisaya ke tempat lain secara kekal. Jika diteliti bahasa Bisaya, mereka menunjukkan persamaan lebih dekat dengan bahasa Melayu berbanding bahasa suku Bisaya di Filipina.

Sejarah bangsa Bisaya

Mengikut legenda, nenek moyang Bisaya berasal dari satu keluarga berhijrah dan menetap di utara Pulau Borneo. Keluarga ini mempunyai 7 orang anak di mana 6 darinya lelaki iaitu Peti Berambai atau Pati Berabai, Si Garamba, Peti Garamba, Peti Runa atau Pati Bagunak, Semaun atau Si Maun dan Alak Betatar atau Urak Betatar atau Lok Batata atau Awang Alah Bertabar; dan seorang perempuan (Siti Duyah atau Duri atau Bunga Sunting).
Satu pertandingan lumba perahu diadakan untuk menentukan siapakah yang layak menjadi Raja Barunai. Perlumbaan ini dimenangi oleh Alak Betatar yang paling bongsu. Dia kemudiannya dilantik menjadi Raja Brunei yang pertama, dan kemudiannya memeluk agama islam dengan menggunakan nama Sultan Mohammad Shah, Sultan Brunei yang pertama.

Catatan Sejarah dari China

Menurut catatan Pemerintah misi dari China, Chang Ching Tze telah diutus ke Barunai (P’o-ni) pada 1370 (Tahun Ke-3, Bulan 9 menurut kalendar Hung-wa). Beliau telah mendapati Ibu Kota Barunai dalam keadaan terbakar seolah-olah telah berlaku peperangan yang besar. Maharaja pada masa itu Sultan Mohammad Shah (Ma-ho-mo-sha [Maha Mokhsa]) dikelilingi oleh pengikutnya seramai lebih kurang 1000 orang. Baginda berkirim salam kepada maharaja China pada masa itu sebagai seorang Muslim.

Catatan Sejarah Tempatan

Peti Berambai iaitu yang sulung menjadi ‘Raja Pulau Jawa’. Si Garampa pula menetap di kawasan Limbang dan menjadi nenek moyang kepada masyarakat Bisaya. Peti Geramba menetap di kawasan Tutong (Brunei), Peti Runa pula di kawasan Sungai Kinabatangan (Sabah) dan Semaun di Sungai Birau ( Selatan Tutong). Siti Duyah pula berkahwin dengan seorang berketurunan cina yang bernama Ong Sum Ping (Awang Sunting) dan menetap di kawasan Gunung Kinabalu, Sabah.

Asal usul Perkataan Bisaya

Menurut kepercayaan tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Mabisa Iya” yang bermakna seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta cantik molek. Sebutan kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga pada hari ini.
Sementara itu, Beyer H.O pada tahun 1926, Hester E.D pada tahun 1954 dan Harrison pada tahun 1956 menyatakan bahawa perkataan Bisaya kemungkinan berasal dari Empayar Srivijaya (Sonza, 1972). Pada tahun 1960, John Carol menyatakan bahawa perkataan Bisaya berasal dari Pahlawan Bangsa yang bernama Śrīvijaya. Derek Headly (1950) menyatakan legenda Bisaya Borneo apabila Sultan Brunei semasa kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda memberitahu “Bisai-Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya.
Semua kenyataan diatas adalah teori dan andaian dan mungkin kita tidak pernah tahu mengenai asal perkataan Bisaya yang sebenarnya.

Fakta Bisaya

Bangsa Bisaya adalah suku kaum asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak beribu tahun yang lalu. Bangsa Bisaya pada zaman dahulu merupakan suatu bangsa yang digeruni, disegani, disayangi, disenangi, ditakuti, dan dihormati oleh suku kaum asli yang lain di negeri ini.
Kemahiran suku kaum Bisaya di atas muka bumi Borneo Sabah ini dalam bidang pertanian seperti menanam padi, menanam halia, menanam pokok rumbia, menanam kunyit, menanam ubi, menanam pisang, menanam keladi, menanam lada, menanam kelapa, menanam pokok buah-buahan dan sebagainya. Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan. Mereka juga menternak ayam, itik, angsa, kambing, kerbau, lembu dan lain-lain binatang sebagai makanan.
Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran di sungai suku kaum Bisaya ialah mereka mahir menangkap ikan dengan menggunakan selambau dan di laut pula dengan menggunakan pukat dan bagang. Pada suatu ketika pelayar Bisaya bernama Awang Semaun bersama rombongannya telah mengelilingi kepulauan Borneo ini bermula dari Sungai Klias dan mereka memasangkan kain putih peraca di hadapan sampan mereka sewaktu dalam pelayaran. Apabila rombongan Awang Semaun kembali di Sungai Klias, mereka medapati peraca berkenaan telah koyak-rabak. Mereka menggelar pulau ini sebagai Pulau Peraca dalam bahasa Bisaya dan dalam bahasa Melayu bermakna Pulau Saputangan. Kerajaan yang paling tua wujud ialah kerajaan Bisaya dan setelah kewujudan kerajaan Barunah, maka pemerintahan kerajaan Bisaya berpindah ke Barunah dan kemudian berubah menjadi Barunai semasa pemerintahan Sultan Ahmad Shah.

Sultan Awang Koyoh

Sejarah menceritakan apabila Sultan Mohammad Shah berpindah ke negara Barunah, maka Sultan Awang Koyoh dilantik sebagai pemerintah kerajaan Barunah atau Borneo yang berpusat di Kota Klias pada tahun 1370. Sepanjang pemerintahan baginda, Borneo berkeadaan aman dan makmur serta subur. Kelebihan Sultan Awang Koyoh ialah dengan izin Allah Subhanahu wa ta'ala tanah-tanih yang di usahakan baginda akan menjadi tinggi dan subur. Hasil tanaman utamanya ialah halia seperti apa yang telah diusahakan oleh ayahanda baginda dahulu Sultan Mohammad Shah. Selain itu pohon rumbia juga turut ditanam bagi membekalkan makanan kepada rakyat baginda disamping pengeluaran padi yang berterusan atau meranau.
Baginda Sultan Awang Koyoh tidak memiliki ramai anak dan setiap anak baginda dilatih dengan ilmu perang dan mahir menggunakan pelbagai jenis senjata. Anak-anak baginda yang amat terkenal ialah Panglima OKK Setia Pahlawan Awang Kassim dan Panglima Awang Alapu atau Lapu-Lapu. Kisah penculikan Sultan Awang Koyoh melalui tipu muslihat Sultan Sulu telah mengakibatkan isteri baginda dibawa lari ke Sulu manakala baginda sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut tetapi telah mendapat kecederaan.
Kemarahan anak-anak baginda amat meluap-luap, dengan izin kekandanya Sultan Panglima OKK Setia Pahlawan Awang Kassim, maka Panglima Awang Alapu mengepalai rombongan perang menuju ke Sulu bagi menjatuhkan kerajaan Sulu. Setelah sampai ke perairan Sulu, tanpa berlengah Panglima Awang Alapu memerintahkan bala tenteranya menyerang kerajaan Sulu tanpa belas-kasihan dan menghancurkannya sehancur-hancurnya kerana selama ini serangan bersifat lanun oleh pihak Sulu telah ditepis dengan hanya menghalau lanun-lanun tersebut. Kesabaran Panglima Awang Alapu tidak terbendung lagi kerana ini melibatkan maruah kaum Bisaya kerana cubaan Sulu menculik ayahandanya dan beliau berazam untuk menghancurkan angkatan lanun yang berpusat di Sulu. Maka sebuah pulau telah dijadikan pangkalan tentera beliau dan sehingga kini pulau tersebut dikenali sebagai pulau Bisaya sempena pahlawan-pahlawan Bisaya yang sanggup mati disana bagi menghalang kemasukan lanun ke perairan Borneo. Setelah penjajah barat menguasai Sulu maka perkataan Bisaya bertukar menjadi Visaya. Kejadian tersebut dirakamkan sekitar 1500 masihi dan sehingga kini, kenangan pahlawan Bisaya yang diketuai Panglima Awang Alapu kekal dalam ingatan sanubari keturunan Sultan Awang Koyoh bin Sultan Awang Alak Betatar. Berita terakhir yang diterima ialah apabila kejayaan Panglima Awang Alapu menumpaskan angkatan tentera Sepanyol yang diketuai oleh Ferdinand Magellan pada 1521 masihi.

Lagu untuk mendodoi anak:

"Awang koyoh memang bijak, ilmu baginda memang tinggi,
dimana saja baginda memijak,
nescaya tanah menjadi tinggi’

Ketua Kaum Bisaya

Lebih kurang pada abad ke-13, kaum Bisaya mempunyai ketua yang digelar sebagai Sultan Awang Alak Betatar bin Bonian Mas Kayangan. Baginda dikatakan telah memeluk agama Islam dan menukarkan namanya dengan gelaran sebagai Sultan Mohammad Shah pada tahun 1363 Masihi.
Pada tahun 1370 Masihi, baginda Sultan Mohammad Shah telah melantik anak lelaki baginda yang bernama Sultan Awang Koyoh bin Sultan Awang Alak Betatar menjadi pemerintah negeri Borneo ketika itu manakala baginda Sultan Mohammad Shah telah berhijrah ke negeri Brunei dan menjadi pemerintah selaku Sultan Brunei beragama Islam yang pertama memerintah negeri Brunei pada tahun 1370 Masihi.
Pemerintahan Sultan Awang Koyoh berpusat di Sungai Klias yang digelar sebagai Kota Klias pada ketika itu dan nama tersebut kekal sehingga ke hari ini. Setelah baginda mangkat iaitu lebih kurang pada tahun 1621 Masihi, pemerintahan baginda telah diwarisi oleh anak baginda yang bergelar Sultan Panglima Orang Kaya Kaya Setia Pahlawan Awang Kassim pada ketika itu dan mangkat lebih kurang pada tahun 1855 Masihi. Tempat baginda telah diwarisi oleh anak lelaki baginda yang bernama Sultan Tunku Laxamana Awang Ishak Ismail Jalil. Baginda mangkat pada tahun 1961 Masihi.

Peninggalan Senjata Lama

Sejarah perjalanan Awang Alak Betatar sebenarnya telah menempuh pelbagai onak dan duri yang bertali arus. Secebis kisah yang tidak diuar-uarkan ialah perjalanan pertama baginda ke gunung Kinabalu yang mana telah membawa penemuan besi tahi bintang atau Karusani. Setelah berjaya menumbangkan tembadau bertanduk emas yang selama ini merosakkan tanaman halianya, tanpa disedari pemburuan tersebut membawa baginda ke gunung Kinabalu. Besi tahi bintang yang diperolehi baginda telah ditempa menjadi dua bilah pedang yang panjang dan berwarna hitam. Menurut maklumat yang diperolehi, semasa Awang Alak Betatar menguasai kerajaan Barunah, bersama-sama baginda tersisip sebilah pedang dipinggang baginda sebagai senjata dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah Azza wa jalla. Sebilah pedang lagi baginda titipkan kepada anakanda baginda Sultan Awang Koyoh. Oleh itu, senjata yang menjadi tanda keturunan baginda telah hilang dan menjadi misteri sehingga kini.

 
Menurut cerita, seorang nelayan berbangsa Bisaya dari Labuan telah menemui sebilah keris dalam perut seekor ikan dan beliau pernah diberitahu sebelum kemangkatan Sultan Awang Kuyoh, baginda memegang sebilah keris kebesaran kerajaannya. Keris tersebut juga mempunyai pertalian dengan kesultanan Borneo suatu ketika dahulu.
Salah satu senjata yang sehingga kini masih menjadi misteri ialah keris emas yang merupakan senjata sulit Sultan Awang Koyoh bin Sultan Muhammad Shah. Selain itu, andiban emas juga merupakan senjata penting bagi mempertahankan diri daripada musuh. Ini merupakan fakta yang menjelaskan tentang tradisi bangsa Bisaya yang memiliki andiban sebagai senjata warisan keluarga.

Adat dan kebudayaan

Kaum asli Bisaya mempunyai adat yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sejak turun-temurun. Contohnya, orang muda kaum asli Bisaya mesti menghormati orang dewasa kaum asli Bisaya. Anak gadis kaum Asli Bisaya mesti pandai menjaga kesopanan dan kesusilaan. Kebudayaan Kaum Asli Bisaya adalah seperti:
  • Tarian Liliput Bisaya

  • Tarian Jipin (Zapin) Bisaya
  • Tarian Sayau bagarus (Tarian menggarus batang rumbia)
  • Tarian Mengalawat (Tarian memijak hempas batang rumbia)

  • Tarian Minsayau (untuk meraikan kejayaan mengalahkan lanun)
  • Alat tradisional kulintangan Bisaya yang mempunyai 27 lagu dan 3 lagu berkaitan acara berasik

  • Pencak silat Bisaya dengan muzik bamboo
  • Tarik tali
  • Bermain gasing
  • Bermain layang-layang
  • Ugang Bamboo
  • Badaup terutama semasa menuai padi

  • Mibulang iaitu penggunaan binatang Kerbau
  • Tarian Bubu Mangalai dengan menggunakan jampi serapah
‘Ya Bamban Ya Lukah, Ya Bamban Eh Basari,
Main Kita Si Ipar Muda,
SiLukah Pandai Menari’

  • Berambit/Bahambit
  • menimbang anak kecil yang lahir pada bulan Safar
  • Lastik/Melastik
  • Panah/Memanah
  • Andiban/Alat membujak binatang liar
  • Perubatan tradisional Bisaya
  • Pakaian Tradisional Bisaya
  • Kuih-muih tradisional Bisaya seperti kalopis, kuih cincin, kuih tapai, kuih sapit, dll.

Kemahiran Kraftangan

Seperti juga dengan kaum-kaum lain di sabah, kaum bisaya mempunyai kraftangan mereka sendiri. Craftangan mereka adalah berkaitan dengan kegunaan harian seperti menanam padi, mengangkat bahan-bahan harian, membuat sagu dan menangkap ikan. Antara yang terdapat disini adalah kalambigas, lasok dan salihid.
Bahan daripada: http://ridzonel-dee.blogspot.com/2009/08/kesenian-dan-kraftangan-bisaya.html

Tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah

Pada tahun 1930, mengikut penjelasan daripada Sultan Tunku Laxamana Awang Ishak Ismail Jalil, kesultanan Sulu telah membuat tuntutan ke atas Borneo (Sabah) akan tetapi, telah ditolak oleh pihak Mahkamah Tinggi Jesselton pada ketika itu. Tuntutan kedua pada tahun 1942, manakala tuntutan ketiga pada tahun 1962 dan kesemuanya telah ditolak oleh pihak mahkamah. Perkara ini jelas pada waktu itu walaupun Borneo (Sabah) adalah di bawah jajahan British akan tetapi, pihak British memang telah mengakui bahawa kesultanan Borneo (Sabah) memang wujud. Makanya, tuntutan Sultan Sulu ke atas Borneo (Sabah) telah ditolak disebabkan Sultan Tunku Laxamana Awang Ishak Ismail Jalil Bin Sultan OKK Setia Pahlawan Awang Kassim Bin Sultan Awang Koyoh Bin Sultan Awang Alak Betatar telah membuat penjelasan dengan panjang lebarnya kepada pihak pegawai-pegawai British pada waktu itu serta telah dapat meyakinkan pihak berkenaan.

Rujukan

  • Selamat Jati; Sejarah Sosio Ekonomi Bisaya (Tesis 1990).
  • Dr. Shafiq Sarawak Museum Journal (1989); “Bisaya Ethnography: A Brief Bisaya Report"
  • Antarano Peranio; The Structure of Bisaya Society.
  • Bewsher; Kumpulan tulisan Bewsher (Tuan Busa kajun Bisaya)
  • Prof. Vernon L.Poritt; “Bapa Guru Bisaya”.
  • Harrisson; Kaitan Bisaya Sarawak, Brunei dan Sabah; “Some origins and attitudes of Brunei Tutong-Belait-Dusun, North Boreneo “Dusun’, and Sarawak Bisayan (1958).
  • Asmah Hj, Omar (1983), Araneta and Bernard (1960), Hussain Jamil & Newman(187); Bisaya language
  • R.E. Stubbs (1968); Kegemilangan Bisaya.
  • St. John (1862) Volume 2; Tulisan yang awal tentang kampung-kampung Bisaya.
  • Rencana asal telah ditulis oleh Encik Haji A. S. Suhaili bin Haji O.T. Shatar, pesara kerajaan Sabah berdasarkan maklumat daripada moyang beliau pada 1961.

Tarian Sumazau

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang sering dipersembahkan pada Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei.
Ilham tarian Sumazau ini adalah daripada corak penerbangan burung helang yang disaksikan petani-petani yang berehat di sawah sewaktu musim menuai. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan.
Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.
Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong, biasanya 6 buah gong yang berbagai ukuran dan satu gendang dengan rentak yang khusus. Tempoh dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza-beza mengikut daerah dan desa.
Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan dengan perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan "Bambaazon" (semangat padi) yang biasa dilakukan pada selepas menuai padi.
Penari-penari Sumazau yang terdiri daripada kaum lelaki dan perempuan biasanya memakai pakaian serba hitam yang dihiasi dengan corak-corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi dengan selendang serta talipinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya akan memaki tanjak di samping pakaian serba hitam serta menyendang daun silad kering.


Kini tarian Sumazau diadakan dalam banyak majlis keramaian seperti majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis keraian menyambut ketibaan orang-orang kenamaan, di mana ia turut juga ditarikan oleh semua yang hadir dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan majlis tersebut tanpa memakai pakaian tradisional hitam.

Tamu Kota Belud



Kota Belud merupakan salah satu tempat yang popular dan ceria tamu mingguan di SABAH, yang diadakan pada setiap hari Ahad seawal 6 pagi sehingga waktu tengahari. Perkataan "tamu"  bermaksud "tempat pertemuan", dan sehingga hari ini, tempat ini secara tidak langsung menjadi tempat para pedagang berdagang dari luar dan dalam daerah, dan secara tidak langsungnya, mereka bersama-sama berbincang dan berkongsi tentang perkara-perkara terbaru ataupun perayaan-perayaan  yang diadakan dalam daerah mereka. Di sini, para pelawat dapat menemui kraf tangan Sabah, diikuti gerai sirih, buah-buahan tropika dan sayur-sayuran, dan alat-alat elektrik dari Taiwan.

Kota Belud

Tahukah anda...bahawa daerah kota belud sekarang ni banyak menyimpan sejarah yang lama, sejak beratus-ratus tahun yang lalu? boleh dikatakan bahawa kawasan Kota Belud pada masa dahulu adalah merupakan tumpuan para pedagang dari Tanah Besar Asia. Dengan kedudukan yang strategik dan kaya dengan pelbagai hasil hutan yang menarik perhatian pedagang, terutamanya orang China yang inginkan kayu gaharu, emas dan sarang burung yang diniagakan oleh penduduk tempatan melaui kaedah tukar barang atau sistem barter.

Sejarah perdagangan dikawasan pantai barat sabah telah bermula sekitar abad ke 7 masihi, bersamaan dengan kelahiran beberapa buah kerajaan lama seperti Langkasuka (Kedah Purba) dan semasa empayar Sriwijaya meluaskan empayarnya di seluruh Nusantara Melayu. Keadaan ini berterusan sehingga kedatangan beberapa kuasa barat seperti Belanda, Portugis dan Inggeris yang mengamalkan sistem perdagangan monopoli dan merosakkan perdagangan pedagang Asia dengan penduduk tempatan. Sehingga sekarang, Kota Belud dikenali sebagai sebuah daerah yang unik kerana terdapatnya dua elemen penting yang terhasil daripada peninggalan sejarah perdagangan yang tertua iaitu. Institusi 'tamu' dan kewujudan kuda padi yang banyak didaerah ini.

Pelabuhan yang sering dikunjungi oleh para pedagang China diantara abad ke 6 hingga abad ke 15 masihi ialah pelabuhan kuala abei (Kuala Abai) Nama Abai ini telah dijumpai dalam manuskrip lama kerajaan sriwijaya sebagai pelabuhan yang maju di kawasan Pantai Barat Borneo Utara. Penjumpaan tembikar lama abad ke 7 Masihi di Abai oleh Tom Harrison, pakar sejarah negeri sabah telah mengukuhkan lagi tanggapan ini.

Pedagang China biasanya menukarkan bekalan bekalan makanan dan hasil hutan yang di inginkan mereka iaitu kayu gaharu, emas dan rotan dengan pakaian, tempayan, pinggan mangkuk dan dulang tembaga. Biasanya mereka akan mencari satu tempat yang strategik untuk membolehkan semua puak penduduk tempatan mengumpulkan barangan mereka disitu. Kawasan perdagangan ini menjadi petempatan kekal sehingga beratus-ratus tahun lamanya sehinggalah konsep 'Tamu' itu diperkenalkan semula pada zaman penjajah.

Kuda merupakan sejenis binatang yang hanya terdapat di tanah besar Asia. dipercayai bahawa binatang ini telah dihadiahkan oleh pedagang China kepada ketua-ketua puak tempatan agar mereka diberikan hak dan perlindungan untuk berniaga dikawasan tersebut. Kuda ini menjadi alat tunggangan kelas satu dan sebagai kayu pengukur untuk menunjukkan status kebangsawanan sesebuah keluarga sehinggalah abad ke 20. Binatang ini berkembang baik sehinggalah Kota Belud menjadi sebuah kawasan Yang dinamakan "Pekan
Cowboy". Ini kerana binatang tersebut sekarang ini hanya digunakan untuk mengawal lembu sahaja.